Follow Us @asrialigur

18 July 2010

Nabil sandar kerjaya Halimunan..


JIKA mendengar melodinya saja tanpa alunan vokal, pasti ada yang beranggapan lagu terbaru, Halimunan dendangan bintang kelahiran Mentor musim pertama iaitu Nabil Zamanhuri bagai ritma muzik antarabangsa persis penyanyi R&B, Usher atau Chris Brown.

Menjadikan bintang tersohor dunia, Michael Jackson sebagai inspirasi muziknya, Nabil menganggap lagu terbaru yang diedarkan syarikat rakaman Alibi Music Sdn Bhd ini sebagai percubaan terbarunya selepas gagal memahatkan nama dalam pentas seni suara.


Menurut anak kedua daripada empat beradik ini, Halimunan punya keistimewaan tersendiri selain dekat dengan jiwanya. Baik daripada bait liriknya yang sarat dengan maksud tersirat, melodinya juga selari dengan kehendak remaja masa kini yang dahagakan muzik yang punya sentuhan moden.

“Halimunan adalah strategi terbaru saya dan pihak Alibi. Ibaratnya penantian lebih kurang lima tahun akhirnya membuahkan hasil buat kerjaya saya.


“Lagu ini punya makna tersendiri selain yakin karya ini mampu meletakkan diri saya ke fasa lebih baik,” katanya yang mengagumi Allahyarham Sudirman Haji Arshad serta mentornya, Nora.
Meskipun lahir daripada program televisyen dan pernah memiliki sebuah lagu ciptaannya sendiri berjudul Hati Ini, Nabil akur akan kesempitan ruang buatnya tampil popular.


Namun berbekalkan semangat yang tidak pernah luntur, pemenang Naib Juara Lagu Terbaik dan Penyanyi Harapan Asia di Festival Muzik Asia Shanghai ke-11 pada 28 April lalu di Beijing, China kali ini mengharapkan keajaiban akan berlaku untuk Halimunan.


“Entah mana silapnya, memang payah untuk saya tampil ke depan sejak melepasi pentas akhir program Mentor dulu. Lagu Hati Ini tidak dapat sambutan dan kurang mendapat perhatian baik daripada peminat mahupun stesen radio, begitu juga percubaan saya mengacarakan program Remaja hampir setengah tahun juga tidak mendapat tempias publisiti yang meluas.


“Pun begitu saya beranggapan ketika itu tumpuan memang lebih pada pelajaran berbanding dunia seni. Namun jauh di dalam hati, memang kecewa kerana karya ciptaan sendiri bagai tidak diendahkan.
“Bagaimanapun saya tidak langsung kecewa atau rasa putus harapan, sebaliknya ia satu suntikan semangat bagi terus membuktikan perjuangan ini belum berakhir.
“Mungkin kemenangan saya di Shanghai akan lebih membuka mata banyak pihak bagi memberi ruang kepada saya untuk terus memperkenalkan karya yang ada.


“Jujurnya saya yakin dengan lagu ciptaan sendiri kerana yang pasti, keserasian yang diadun pada melodi dan lirik itu bersesuaian dengan jiwa saya selaku penyanyinya,” katanya.


Penyanyi yang masih menuntut dalam jurusan Ijazah Filem dan Animasi di Universiti Multimedia ini menyimpan satu hasrat besar untuk masa depannya.


Tidak hanya bersandar pada gelaran penyanyi, Nabil yang bakal menjengah usia 23 tahun pada September depan ini merancang mencipta karya buat rakan artis yang lain pula.


“Menyanyi saja tidak cukup untuk mengukuhkan nama sebagai anak seni. Justeru, saya bersyukur dengan bakat yang ada untuk saya mencoret nota muzik mencipta susunan muzik sendiri.


“Jika diberi peluang dan rezeki, saya sememangnya bercita-cita mahu menjadi komposer muda yang disegani dengan deretan karya berkualiti.

“Setakat ini saya memiliki empat lagu ciptaan sendiri dan masih sibuk menyiapkan lagu untuk penyanyi baru iaitu Amanda Imani. Saya akan cuba sebaik mungkin bagi memberi nafas baru dalam setiap lagu sentuhan saya.

“Saya juga akan lebih meletak fokus serta komitmen dalam menerbitkan album pula pada masa akan datang,” katanya yang memenuhi undangan nyanyian di stesen televisyen China, Yunan TV baru-baru ini.

No comments: