Follow Us @asrialigur

21 July 2010

Mon Yanti jadi pelakon utama


BERMULA dengan peragaan pakaian pada usia remaja, bakat baru, Haryanti Muhammad Shudina Lee, 22, atau Mon Yanti mula mengorak langkah membabitkan diri dalam lakonan.

Gadis kacukan Melayu - Cina (sebelah bapa) ini mula membabitkan diri dalam dunia glamor ini untuk pembikinan poster filem V3 : Samseng Jalanan penghujung tahun lalu. Begitupun, atas faktor tertentu poster berkenaan tidak dapat diterbitkan.

Bagaimanapun, itu bukan penamat peluangnya dalam seni sebaliknya anak jati Johor ini mula diperkenalkan di layar perak menerusi filem Senario The Movie Episod 2 - Beach Boy dengan memainkan peranan sebagai anak saudara kepada Wahid Senario.

Pengalaman pertama terbabit dalam penggambaran filem itu membuatkan Mon Yanti berasa seronok. Biarpun tidak mempunyai asas dalam lakonan, keinginan untuk belajar dan mendalami bidang lakonan membuatkan dia antara pelapis dalam pembentukan dalam dunia seni tanah air.

Selepas satu demi satu filem ditawarkan kepadanya serta membabitkan diri dalam penggambaran drama bersiri seperti Epilog Syurga Cinta, Cinta Tikar Sejadah, Jalan Pinang Sebatang dan Adnan Semp-It The Series, Mon mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya.

"Saya tidak merancang membabitkan diri dalam lakonan. Pada asalnya saya hanya membabitkan diri dalam dunia peragaan ketika di sekolah menengah lagi.

"Saya mula membabitkan diri dalam lakonan ketika mengikuti pengajian dalam jurusan Pengurusan di Universiti Industri Selangor (Unisel) sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Perakaunan dan Kewangan, Kolej Segi.

"Ketika menyertai satu sesi uji bakat, saya mendapat tawaran untuk terbabit sebagai model dalam penggambaran poster filem MIG, V3 : Samseng Jalanan. Dari sana saya diberi peluang untuk tampil dalam lakonan," katanya.

Mon Yanti mengakui perasaan gementar dan kaku ketika pertama kali beraksi di hadapan lensa kamera memang ada. Apapun katanya, pembabitan dalam Senario The Movie Episod 2 : The Beach Boy sebagai pendedahan pertama dalam suasana dan corak penggambaran.

"Walaupun hanya watak cameo, saya banyak belajar daripada pelakon dan pengarah filem itu, Ahmad Idham mengenai selok-belok berlakon. Memang sukar untuk menyesuaikan diri kerana tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan. Mujur pengarah dan barisan pelakon yang berpengalaman tidak lokek mencurahkan ilmu," katanya.

Mon yang bakal menerima ijazah perakaunan dan kewangan tahun depan mengakui bidang pengajian jauh berbeza dengan karier seni, tetapi ia bukan masalah besar. Sebaliknya, pengetahuan dalam bidang perakaunan dan kewangan turut membantu dalam kerjaya seseorang artis.

"Biarpun menceburi bidang lakonan, keinginan untuk melanjutkan pelajaran tetap ada. Saya mungkin mempertimbangkan untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah jika ada kelapangan kelak.

"Saya memang meminati bidang perakaunan sejak kecil. Saya juga meminati semua subjek yang membabitkan pengiraan. Selain menyimpan impian untuk mempunyai perniagaan sendiri suatu masa nanti," katanya.

Lakonan Mon Yanti kini dapat disaksikan menerusi filem Mantra yang ditayangkan di pawagam sejak 15 Julai lalu. Katanya, Katanya, banyak cabaran dan pengalaman dilalui ketika menjayakan watak dalam filem seram arahan Azhari Zain.

Selepas ini Mon Yanti mempertaruhkan pula filem Keramat yang dijangka ditayangkan di pawagam awal tahun depan. Katanya, kedua-dua wataknya dalam filem itu cukup berbeza. Dia menganggap ia sebagai pengalaman dan cabaran yang perlu dilalui sebagai pelakon.

Membawa watak Suriati, anak penghulu yang dibunuh Muzir lakonan Zul Suphian atau Zul Handy Black dalam Mantra, membuatkan Mon sentiasa berada dalam ketakutan. Dia juga menangis ketakutan apabila melihat watak hantu dalam filem itu. Akuinya, dirinya seorang penakut dan tidak pernah menonton filem hantu.

Bagaimanapun, dia terpaksa berdepan dengan watak hantu yang menakutkan dalam filem itu. Sungguhpun terlalu takut, dia mencabar diri untuk berlakon dalam Mantra.

"Saya hanya berlakon dalam empat babak, tetapi semua babak saya mencabar dan menakutkan. Dalam satu babak, saya kena serang dan lemas dalam kolah. Ketika itu, penggambaran dilakukan di sebuah rumah lama di Lenggong, Perak.

"Saya jadi lembik dan tidak bermaya apabila melakonkan babak ini. Seluruh tenaga saya dicurahkan kerana saya perlu menjerit, menangis dan akhirnya lemas dalam kolah.

"Saya juga melakonkan babak histeria ketika Hasbi (Hasnul Rahmat) cuba memulihkan semangat saya. Bukan mudah kerana saya tidak pernah kena histeria, tetapi dengan tunjuk ajar Azhari dan Abang Zul, saya dapat lakukan. Abang Zul seorang pelakon yang tidak lokek berkongsi ilmu, malah kami banyak berbincang sebelum melaksanakan sesuatu babak," katanya.

Paling dinantikan Mon, penampilan pertama selaku teraju utama sebagai Munirah dalam filem Keramat juga filem seram arahan Azhari Zain yang turut menyaksikan gandingannya bersama Zul Handy Black.

Berbeza dengan watak Suriati, Munirah memerlukan Mon bermain dengan emosi apabila perjalanan cerita filem berkenaan banyak berkisar kepada konflik dan ilmu hitam.



No comments: