23 July 2010

Maradona disambut hangat di Venezuela

CARACAS (Venezuela): Diego Maradona dikerumuni berdozen-dosen peminatnya apabila tiba di Venezuela, kelmarin untuk melawat Presiden Hugo Chavez dan menghadiri beberapa aktiviti bagi mempromosikan aktiviti bersukan.

Maradona memberitahu media beliau tidak sabar bertemu Chavez, kawan yang berkongsi cinta mengenai sukan dan idea politik berhaluan kiri, manakala peminatnya mengibarkan bendera Venezuela dan Argentina di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar yang dinamakan sempena pejuang kemerdekaan Venezuela kurun ke-19.

“Saya kini berada di tanah Simon Bolivar untuk bertemu Presiden Hugo Chavez,” kata Maradona, menurut kenyataan kerajaan. “Bersama-sama kami akan menyertai pelbagai aktiviti untuk mempromosikan sukan di Venezuela,”.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenainya, namun Menteri Sukan Venezuela mengumumkan jurulatih pasukan kebangsaan Argentina itu akan bersama-sama Chavez untuk ke ibu kota Cojedes hari ini untuk menghadiri majlis konvokesyen di universiti atlit.

Beliau juga akan bertemu dengan pelatih sukan tempatan untuk berkongsi idea.
Sebelum ini, Maradona mengutarakan pandangan mengenai corak pemikiran berhaluan kiri serta bercakap mengenai persahabatannya dengan Chavez dan bekas pemimpin Cuba, Fidel Castro.

No comments :