Follow Us @asrialigur

23 July 2010

Mahu Gapai Impian :Shahir Elak Kontroversi?



Dia memiliki aura tersendiri. Personaliti, ketampanan dan bakat menjadi aset utama untuk dia terus mengharungi onak berliku di lapangan ini. Mampukah dia bertahan dan menjadi selebriti yang disegani suatu hari nanti?
Pertemuan dengan juara program realiti TV, Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) Ahamd Shahir Zawawi, 22, sudah diatur dua minggu lebih awal memandangkan jadual hariannya sentiasa terisi dengan pelbagai agenda. Satu perkembangan positif pada perkiraan saya.
Selain diatur dan diurus oleh pihak Astro, anak kelahiran Perak Darul Ridzuan ini juga punya misi dan visi untuk bergelar seorang artis.
Kesempatan untuk bersamanya, digunakan sebaik mungkin. Bila lagi untuk bertemu dengannya pun belum tahu. Lebih selesa disapa Shahir, dia tetap memberikan kerjasama yang baik walaupun tempoh pertemuan amat singkat. Bukan hanya fokus pada karier yang sedang dikejar, Shahir bangga dan positif bercerita mengenai kehidupan serta perancangan masa depannya.

RASAI PERUBAHAN HIDUP
Mungkin sudah ramai yang tahu perjalanan seni anak sulung daripada lima beradik ini bermula dengan menyertai kumpulan nasyid Saujana. Dari situlah sikit demi sedikit karier nyanyian secara profesionalnya bermula.
Namun rezeki dan jodohnya dengan kumpulan Saujana tidak panjang. Secara peribadinya, keputusan untuk keluar dari kumpulan itu bukan satu tindakan mengikut perasaan, tetapi dia ada agenda penting perlu dilaksanakan.
Tiba-tiba sahaja nama Shahir popular.
Perhatian umum terhadap dirinya semakin menjadi-jadi. Penyertaannya di dalam AF8 mencetuskan fenomena baharu dalam masyarakat. Dia kacak, baik, jujur dan berbakat.
Itu yang digambarkan penonton sepanjang dia berada di akademi. Walaupun pernah tersingkir dan kemudiannya diundi masuk semula, Shahir menganggap itu peluang keemasan yang tidak mahu disia-siakan. Kemenangan telah berpihak kepada dirinya. Dia layak dengan pakej lengkap, bukan hanya berwajah komersial tetapi suara dan bakat yang dimiliki memberi kelebihan kepadanya. Bermulalah episod kehidupan seorang bergelar selebriti.

“Alhamdullilah minat sejak kecil kini menjadi kenyataan. Saya bersyukur dinobatkan sebagai juara AF8. Saya dapat rasai perubahan selepas keluar dari akademi. Saya terkejut dengan penerimaan para peminat.
Ramai yang mula ambil tahu pasal saya dan sokongan serta sambutan mereka amat baik. Ia satu penghargaan buat diri saya.
Bukan itu sahaja, jadual karier juga semakin sibuk. Hampir setiap hari pelbagai perkara diatur pihak Astro termasuklah membuat penggambaran untuk majalah, surat khabar, ke stesen radio dan juga membuat persembahan. Kesibukan yang dilalui sekarang bukti peminat dan pihak di dalam industri dapat menerima kehadiran saya,” jelas Shahir panjang lebar.
Selain itu, penampilannya sudah berbeza. Jika dahulu imej yang ditampilkan nampak lebih dewasa dari usia sebenar, namun hari ini kita boleh lihat perubahan ketara pada penampilan. Ranggi dan kasual tetapi kemas.
Walaupun Shahir lebih gemar bergaya ringkas, namun dia berpendapatan penampilan diri penting bukan kerana dirinya sudah bergelar artis, tetapi menganggap penampilan diri yang sempurna adalah ‘maruah diri’ seorang lelaki. Bagi Shahir ‘personaliti itu satu produk’.

No comments: