Follow Us @asrialigur

09 July 2010

Lan & Liyana Jasmay ‘gilakan’ ­­Ella


Apabila diva rock negara Ella dipertemukan bersama Lan & The Typewriter dan Liyana Jasmay bagi memenuhi sesi fotograf kulit muka depan MH, ternyata ketiga-tiga mereka tidak kekok. Lan dan Liyana yang sedari kecil meminati Ella berasa sangat teruja bertemu dengan idola mereka. Apatah lagi Ella merupakan penyanyi rock yang tidak pernah pudar popularitinya sepanjang 25 tahun berkecimpung di dalam arena seni. Masing-masing punya cerita tersendiri untuk dikongsikan bersama.

Tiada lagi penyanyi wanita ‘rock’ generasi muda yang sehebat Nor Zila binti Haji Aminuddin atau Ella yang masih mempertahankan gelarannya sebagai Ratu Rock Malaysia. Walaupun sudah bertapak di dalam industri sejak tahun 1985 namun populariti Ella tidak pernah pudar. Semaraknya era kegemilangan penyanyi yang berasal dari Klang ini bermula dengan kumpulan Ella & The Boys kemudian Ella terus bergerak solo dan terus kukuh berdiri sehingga kini.

Sepanjang 25 tahun bergelumang dalam dunia hiburan Ella akui banyak pengorbanan yang terpaksa dilalui. Namun ketabahannya menebal apabila peminat senantiasa memberi sokongan yang padu terhadap dirinya. “Saya kagum dengan peminat yang tidak hentihenti memberi sokongan. Saya membesar bersama peminat. Bukan hanya peminat lama namun peminat saya terdiri dari pelbagai lapisan umur. Malah budak-budak kecil pun kenal dengan lagu-lagu saya,” ujar Ella yang sememangnya terkenal dengan sikap manjanya.

No comments: