04 July 2010

ayu rancang tunang


Selepas kakaknya dikatakan menemui jejaka idaman hati, Ayu Raudhah pula mengesahkan dirinya bakal mengikat pertunangan dengan kekasihnya yang juga penyerang bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, dalam tempoh terdekat.

“Buat masa ini saya mengaku memang kami merancang untuk bertunang dalam masa terdekat tetapi tarikhnya belum dapat dipastikan kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.

“Yang boleh saya katakan di sini, kami mungkin bertunang tahun ini juga. Kami perlu berbincang bagi mencari tarikh sesuai untuk majlis itu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurutnya, dia juga belum berbincang untuk memilih lokasi bagi mengadakan majlis itu tetapi semuanya bergantung kepada jadual kerjaya masing-masing.
“Saya belum dapat katakan mengenai lokasinya kerana kami belum menetapkannya lagi... kini hanya menunggu untuk memilih tarikh sesuai dan kemudian baru memilih tempatnya pula.

“Dia (Mohd Zaquan Adha) kini sibuk dengan kerjaya, termasuk untuk pasukan Negeri Sembilan dan kebangsaan, saya pula dengan penggambaran drama bersiri atau telemovie.

“Kami perlu mencari ruang sesuai untuk berbincang mengenai pertunangan kami,” katanya yang baru selesai menjalani drama bersiri ‘Janji Kekasih’ untuk siaran di TV3.

Ayu Raudhah, 25, yang juga adik kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan sebelum ini sering menjadi perhatian kerana dikaitkan dengan Mohd Zaquan Adha yang turut mempunyai peminatnya tersendiri selepas menjadi tunjang kepada pasukan bola sepak kebangsaan, terutama ketika merangkul pingat emas Sukan Sea di Laos, tahun lalu.

Mohd Zaquan, 23, kelahiran Seremban, Negeri Sembilan kini sibuk menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi menghadapi cabaran Sukan Asia di Guangzhou, China pada November depan serta Piala AFF di Hanoi, Vietnam serta Jakarta, Indonesia, Disember nanti.

Sebelum ini akhbar pernah melaporkan Ayu Raudhah mengakui menyukai Mohd Zaquan Adha kerana dia penyayang dan berwajah manis serta menyifatkannya lelaki terbaik untuknya, manakala penyerang pasukan kebangsaan itu pula menyatakan cintanya hanya untuk aktres itu.

Jelas Ayu Raudhah lagi, dia akan memaklumkan pihak media jika semua berjalan lancar dengan tarikh dan tempat berlangsungnya majlis itu ditetapkan.
“Kita mahu buat benda baik, buat apa nak disembunyikan dan saya akan beritahu apabila kami mencapai kata sepakat. Buat masa ini kami baru merancang untuk bertunang.

“Mengenai perkahwinan pula saya tidak dapat menjangka bila akan diadakan, biar selesai dulu pertunangan antara kami ini dan majlis pernikahan pula dibincangkan kemudian,” katanya.

No comments :