27 July 2010

Apa salah saya?: Ahmad Idham

"Saya hanya menjalankan tugas dan amanah yang diberikan oleh kementerian. Ini (menjalankan tugas sebagai ahli lembaga pengarah Finas) adalah tanggungjawab saya dan saya mesti laksanakan.
"Kita telah dilantik oleh Menteri (Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan). Kalau saya dengan mudahnya menarik diri bermakna saya gagal atau menolak untuk menjalankan tanggungjawab yang diberikan kepada saya."
Demikian kata pengarah filem terkenal dan sangat berjaya, Ahmad Idham Ahmad Nazri mengulas mengenai kenyataan Persatuan Pengeluar-pengeluar Filem Malaysia (PFM) yang mempertikaikan perlantikannya dan penerbit David Teo sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Idham tidak mahu menyentuh mengenai kedudukannya di dalam Finas kerana tidak mahu memberi kenyataan yang boleh melanggar batasan.
"Kalau pasal kedudukan saya, hanya pihak kementerian yang layak membuat kenyataan. Maaf saya tak boleh bercakap pasalnya," jelas Idham.
Idham disebut-sebut sebagai antara calon yang akan menggantikan tempat Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyiddin Mustakim.
Sementara itu Idham juga kesal dengan tindakan PPFM yang memburuk dan memalukan dirinya secara melulu tanpa memberi peluang kepadanya untuk mempertahankan diri.
PPFM semalam (20 Julai) mengadakan sidang media tergempar di Pusat Dagangan Dunia Putera, PWTC) dan mencapai resolusi mahukan Idham dan David berundur sebagai ahli Lembaga Pengarah Finas.
"Saya ini ahli PPFM yang sah, saya bayar yuran, saya juga bayar dua peratus rebat yang dibayar kepada saya untuk persatuan... apa salah saya sehingga saya dilakukan sedemikian?" soal Idham kepada Mangga Online.
Mintak tunjuk bukti
Idham juga meminta kepada pihak yang tidak perpuas hati agar kemukakan bukti yang mengaitkan dirinya sebagai ada kepentingan peribadi dalam Finas bukan setakat membuat kenyataan melulu sahaja.
"Saya tidak pernah mendapat geran apa-apa sejak berada dalam Lembaga Pengarah Finas. Mereka tanya pandangan orang yang tidak mendapat bantuan Finas, mengapa pula tidak ditanya berapa ramai yang sudah mendapat bantuan Finas?
"Kalau saya bentangkan nama-nama pihak yang mendapat bantuan Finas, pasti ada orang yang terduduk," kata Idham lagi.
Dia sedar ada suara yang mempertikaikan apabila filem arahannya ditayangkan dalam majlis-majlis tertentu.
"Memang nampak banyak filem saya ditayangkan dalam majlis kerana kebetulan filem saya yang banyak masuk pawagam tahun ini.
"Ada juga yang mengatakan saya yak telus dalam soal Wajib Tayang. Wajib Tayang sudah ada syarat yang sudah ditetapkan dan ia dibuat secara online."Mana-mana filem yang siap (sepenuhnya) dulu, filem itu yang akan berada disenarai depan. Semua itu tidak boleh diubah," jelas Idham yang kini sedang di lokasi drama bersiri slot Seram untuk tayangan di TV3.

No comments :